Bantuan musim tengkujuh RM164 juta kepada pekebun kecil, penoreh getah

KUALA LUMPUR: Peruntukan sebanyak RM164 juta diberi kepada 274,639 pekebun kecil getah yang terdiri daripada 255,997 pemilik pengusaha dan 18,642 penoreh bukan pemilik menerusi Bantuan Musim Tengkujuh 2019.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kadar bantuan sebanyak RM600 seorang akan disalurkan dalam dua peringkat terus ke akaun pekebun kecil, iaitu RM300 pada bulan Disember 2019 dan RM300 pada bulan Januari 2020 oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

“Sehubungan itu, pekebun kecil dan penoreh getah yang berdaftar dengan RISDA dan mengusahakan kebun getah tidak lebih 2.5 hektar digalakkan untuk segera membuat permohonan dan mengemaskinikan maklumat mereka sebelum 15 Disember 2019 di Pejabat RISDA seluruh Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azmin berkata, peruntukan Bantuan Musim Tengkujuh akan diteruskan dalam Belanjawan Tahun 2020 dengan RM200 juta akan disalurkan kepada pekebun kecil RISDA dan juga pekebun kecil di bawah Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) bagi membantu mereka mengharungi cabaran musim tengkujuh.

“Peningkatan peruntukan Bantuan Musim Tengkujuh dari tahun lalu pastinya mengurangkan beban pekebun kecil dalam mengimbangi kos sara hidup harian ketika berlaku penurunan produktiviti akibat musim tengkujuh,” katanya. – BERNAMA

Sumber: Berita Harian