Belanjawan 2020 langkah realisasi WKB 2030

KUALA LUMPUR: Pembentangan Belanjawan 2020 hari ini adalah langkah pertama untuk merealisasikan objektif dan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kerajaan menyediakan sebuah belanjawan negara yang komprehensif selari dengan WKB 2030 untuk menstruktur semula ekonomi negara dan memacu pembangunan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif untuk rakyat.

Katanya, belanjawan yang dibentangkan adalah komitmen kerajaan untuk merapatkan ketidakseimbangan ekonomi antara kelas pendapatan, kumpulan etnik dan wilayah.

“Bagi tujuan itu, siling Peruntukan Pembangunan (Development Expenditure) bagi tahun 2020 dinaikkan kepada RM56 bilion, iaitu 18.9 peratus daripada keseluruhan Belanjawan 2020 berbanding dengan 17.3 peratus bagi 2019.

“Peningkatan ini memberi manfaat secara langsung kepada semua rakyat Malaysia khususnya masyarakat B40, penduduk luar bandar serta anak muda.

“Inisiatif bernilai lebih daripada RM1.6 bilion diperuntukkan untuk masyarakat peneroka dan pekebun kecil Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), FELCRA Berhad (FELCRA) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bagi melaksanakan program menjana pendapatan yang memanfaatkan lebih 500,000 peneroka dan pekebun kecil,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Lebih RM1 bilion pula diperuntukkan untuk kepenggunaan digital serta merangsang ekonomi digital bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang akan mengasah bakat serta kemahiran bagi mendepani cabaran Revolusi Perindustrian 4.0.

“Ikhtiar ini juga akan membuka ruang kepada kerajaan bagi menyediakan persekitaran domestik yang kondusif sekali gus memperbesar kek ekonomi negara.

“Kerajaan menggalakkan syarikat-syarikat tempatan untuk meningkatkan kemampuan syarikat dalam bidang industri dan keusahawanan serta mengeksport produk yang mampu bersaing di pasaran global dan bagi mencapai matlamat itu, peruntukan khas RM1.5 bilion untuk membantu PKS melalui subsidi faedah, bantuan eksport dan pembangunan keusahawanan,” katanya.

Belanjawan 2020 turut memberi tumpuan kepada usaha pemberdayaan anak muda dalam mendepani cabaran baharu dalam era teknologi serba canggih.

“Kerajaan mahu anak muda melengkapkan diri dengan keperluan kemahiran dalam revolusi digital. Justeru, fokus terhadap program TVET dengan peruntukan sejumlah RM5.9 bilion akan meningkatkan kebolehpasaran graduan baharu dalam dunia pekerjaan yang semakin kompetitif,” katanya.

Beliau menegaskan Belanjawan 2020 adalah sebahagian daripada falsafah WKB 2030 yang berpaksikan model pertumbuhan inklusif demi kemakmuran rakyat.

Sumber: Berita Harian