Peneroka tanah rancangan perlu sokong perubahan model perniagaan baharu

KOTA TINGGI: Peneroka FELDA, FELCRA dan RISDA terutama generasi baharu diminta menyokong model perniagaan baharu agensi berkenaan dalam usaha meningkatkan pendapatan secara konsisten.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata hasrat kerajaan untuk berkongsi kekayaan khazanah negara tidak akan tercapai jika warga tiga agensi berkenaan tidak menyambut peluang dan perubahan yang dilakukan itu.

“Warga FELDA, FELCRA dan RISDA tidak boleh lagi bergantung kepada komoditi terutama sawit dan getah bagi mendapatkan pendapatan yang konsisten berikutan harga pasaran keduanya yang tidak stabil dan mengikut pasaran antarabangsa.

“Peneroka dan generasi baharu FELDA, FELCRA dan RISDA diharap dapat guna pendekatan teknologi baharu contohnya pertanian pintar yang kini sedang menjalani projek rintis di Felda Sungai Rokan, Negeri Sembilan.

“Semua usaha yang disediakan kerajaan sama ada saluran bantuan, peruntukan, latihan kemahiran perlu direbut kerana peluang ini tidak akan berjaya sekiranya ia tidak disambut oleh peneroka FELDA, FELCRA dan RISDA,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penyerahan kunci PGBF Sungai Sibol, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Johor, Tosrin Jarvanthi dan Pengerusi FELDA Tan Sri Mohd Bakke Salleh.

Model perniagaan baharu itu diperkenalkan dalam Kertas Putih FELDA dibentangkan Mohamed Azmin di Parlimen pada 10 April lalu.

Bagi mencapai kelestarian FELDA, kerajaan menerusi Kementerian Hal Ehwal Ekonomi mahu membawa perubahan dengan melaksanakan 10 perancangan perniagaan model baharu FELDA termasuk program sewaan tanah jangka panjang, program pembangunan peneroka bagi mendapatkan hasil baharu, pengurusan ladang melalui pengukuhan koperasi FELDA serta penggunaan teknologi terkini dalam perladangan pintar.

Sementara itu, Mohamed Azmin memberi contoh penggunaan teknologi baharu dalam tanaman kontan skala besar yang diusahakan dengan menggunakan kaedah pertanian pintar bagi meningkatkan hasil dan mengurangkan kos penanaman mampu meningkatkan pendapatan peneroka FELDA, FELCRA dan RISDA.

“Malaysia juga mengadakan kerjasama dengan syarikat tenusu Qatar bagi membantu negara mentransformasi industri penternakan menggunakan sains dan teknologi di FELCRA bagi meningkatkan kadar pengeluaran susu supaya kita tidak lagi bergantung kepada susu import lagi.

“Ini sekali gus akan membuka peluang baharu kepada peneroka FELCRA beralih kepada industri penternakan moden pula, ” katanya.

Sumber: Berita Harian